PEMBELAJARAN LANGSUNG

|
PENGAJARAN LANGSUNG

Sebelum kita membincangkan tentang pengajaran langsung, mari kita membuat refleksi terhadap apa-apa yang telah berlaku pada zaman kecil kita.
Ambil satu minit untuk menyenaraikan perkara yang anda dapat ingat tentang perkara yang dibuat oleh ibu bapa atau guru untuk membantu anda belajar perlakuan-perlakuan berikut:
Bagaimanakah memakai baju sekolah?
Bagaimanakah mula menunggang basikal?
Bagaimanakah mengingat sifir?
Ibu negeri untuk semua negeri di Malaysia?

Adakah terdapat langkah-langkah atau aktiviti yang digunakan? Adakah perkara-perkara tertentu membantu pembelajaran anda? Apakah persamaan antaranya? Adakah perkara-perkara yang menghalang pembelajaran?

Pengajaran langsung merupakan satu pendekatan untuk pengajaran kemahiran-kemahiran asas di mana pelajaran terarah kepada matlamat dan persekitaran pembelajaran adalah berstruktur. Mengikut Arends (2001), pengajaran langsung merupakan satu cara berkesan untuk mengajar pengetahuan dan kemahiram asas kepada murid.

Pembelajaran langsung merupakan strategi pengajaran yang digunakan oleh gur dan mengikut struktur tetap dengan langkah-langkah spesifik untuk membimbing pelajar ke arah mencapai hasil pembelajaran yang eksplisit. Guru akan mengekalkan kawalan lokus terhadap proses pengajaran dan memantau pembelajaran pelajar sepanjang proses. Keistimewaan pengajaran langsung termasuklah menyampaikan maklumat yang banyak dalam masa tertentu. Oleh sebab model ini terarah guru, maka guru mereka cipta perkembangan pengajaran yang sesuai dengan umur pelajar dan berperingkat-peringkat.

Pengajaran langsung boleh diterangkan dalam tiga aspek, iaitu jenis hasil pembelajaran pelajar, aliran aktiviti pengajaran dan persekitaran pembelajaran. Pengajaran langsung direka bentuk untuk merangsang pembelajaran pengetahuan pelajar yang distrukturkan serta diajar secara langkah demi langkah demi langkah. Pengajaran jenis ini berpusatkan guru dan mengandungi lima langkah, iaitu penentuan set; penerangan/demonstrasi; praktis/latihan terbimbing; maklum balas; dan amalan/praktis lanjutan. Maka, pengajaran langsung bertujuan untuk mencapai dua hasil pembelajaran utama, iaitu penguasaan kandungan berstruktur dan penguasaan pelbagai kemahiran.

Pengajaran langsung berasaskan teori behaviorisme dan pembelajaran sosial. Pembelajaran behaviorisme banyak menyumbang terhadap pengajaran langsung. Guru yang mengajar mengikut prinsip, merangka objektif yang mendeskripsikan dengan tepat tingkah laku yang perlu dilakukan pelajar; menyediakan pengalaman pembelajaran seperti amalan di mana pembelajaran murid boleh dipantau dan maklum balas disediakan; serta memberikan perhatian kepada bagaimana tingkah laku di dalam bilik darjah diberikan ganjaran.

Lanjutan daripada kritikan tentang pelaziman klasik yang memberikan pandangan pembelajaran yang agak terhad, maka pembelajaran sosial digunakan untuk membantu aspek yang tidak dapat diperhatikan seperti pemikiran dan kognisi. Mengikut Bandura (1977), manusia belajar melalui pemerhatian terhadap orang lain. Dalam proses ini terdapat pembelajaran melalui pemerhatian yang terdiri daripada empat langkah, iaitu memberikan perhatian, mengingat apa-apa yang diperhati, melakukan semula perlakuan dan peneguhan/motivasi. Dalam pengajaran langsung, latihan dan rehearsal mental merupakan proses yang membantu pelajar mengingat dan menghasilkan perlakuan yang diperhatikan.
           

PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN LANGSUNG

Antara prinsip pembelajaran langsung ialah:
Pengenalan/Review
Topik atau maklumat yang dipelajari amkan disampaikan kepada murid atau mengkaji semula maklumat yang disusun untuk pembelajaran.
Perkembangan
Guru memberikan penerangan, huraian, contoh atau model tentang apa-apa yang ingin dipelajari dengan jelas serta menyemak pemahaman pelajar melalui penyoalan.
Amalan terbimbing
Peluang diberikan kepada pelajar untuk melatih apa-apa yang diharapkan oleh mereka untuk dikuasai. Di samping itu,  guru memantau aktiviti atau tugasan yang diberikan.
Penutup
Guru-guru mengakhiri pelajaran dengan merumuskan apa-apa yang telah diajar.
Latihan kendiri (Independent)
Tugasan-tugasan diberikan untuk mengukuhkan pembelajaran tanpa bantuan guru.
Penilaian
Kemajuan pelajar dinilai untuk menentukan tahap-tahap penguasaan.



PROSES PENGAJARAN LANGSUNG

Pengenalan/Review
Langkah pertama dalam pengajaran langsung adalah untuk menarik perhatian pelajar. Langkah ini dirujuk kepada peristiwa fokus, di mana peringkat ini menyediakan pentas untuk pemebajaran berlaku. Pelajar dimaklumkan tentang matlamat pembelajaran, hasil pembelajaran dan kepentingan pelajaran berkenaan. Langkah ini dilakukan dalam bentuk seperti mengenal maklumat baharu atau menokok tambah apa-apa yang telah dipelajari.

Perkembangan
Apabila matlamat diberitahu kepada pelajar, guru akan memodelkan tingkah laku (pengetahuan atau kemahiran), di mana pelajar diharap dapat menunjuk cara tingkah laku tersebut. Langkah ini merangkumi penerangan yang jelas tentang maklumat dengan memberikan banyak contoh untuk memastikan pemahaman pelajar terhadap apa-apa yang dipelajari.

Antara proses perkembangan termasuklah menunjuk cara tingkah laku, memastikan pelajar memperoleh pengusaan dan pemahaman serta memberikan perhatian kepada ulangan latihan. Sepanjang langkah ini, guru membuat semakan tentang kefahaman pelajar dengan mengemukakan soalan-soalan utama perkara yang dipelajari atau mencungkilkan soalan daripada pelajar. Guru boleh menggunakan bahan bantu mengajar, persembahan multimedia dan sebagainya untuk menggalakkan pelajar memproses maklumat.

Amalan terbimbing
Langkah ini amat kritikal dari segi guru mendekati latihan terbimbing. Latihan secara aktif ini dapa meningkatkan ingatan, pembelajaran akan lebih automatik dan membolehkan pelajar memindahkan pembelajaran kepada situasi baharu. Antara prinsip yang boelh memberikan hala tuju kepada guru termasuklah memberikan tugasan yang pendek dan bermakna; tugasan yang dapat meningkatkan pembelajaran berlebihan (overlearning); menyedari tentang kelebihan tugasan berterusan dan tugasan yang terbahagi kepada segmen tertentu serta memberikan perhatian kepada peringkat awal latihan diberikan.

Apabila guru yakin bahawa penerangan dan contoh yang sesuai terhadap apa-apa yang dipelajari dapat dimodelkan oleh pelajar, maka aktiviti atau tugasan boleh diberikan kepada pelajar untuk latihan dengan pemantauan guru. Di peringkat ini juga, guru boleh membantu pelajar yang belum menguasai pengajaran sera mereka yang memerlukan pengajaran langsung daripada guru.

Penutup
Sebagai langkah terakhir dalam model ini, penutup merupakan pelajaran dirumuskan dan guru berpeluang untuk mengimbas kembali apa-apa yang diajar dalam pelajaran. Langkah ini digunakan untuk mengingatkan pelajar tentang matlamat pengajaran dan sebagai persediaan untuk pelajar menyelesaikan aktiviti dan latihan kendiri yang diberikan oleh guru.

Latihan kendiri
Aktiviti atau tugasan yang berkait dengan hasil pembelajaran diberikan kepada pelajar setelah mereka menunjukkan kompetensi atau kemahiran dalam langkah ketiga. Latihan yang dilakukan secara kendiri bertujuan untuk mengelakkan apa juga bantuan guru dan langkah ini bertujuan untuk menentukan tahap penguasaan yang dicapai oleh pelajar. Contohnya, kerja rumah boleh diaggap sebagai latihan kendiri kerana memberikan peluang kepada pelajar untuk membuat latihantanpa bantuan daripada guru kelas.

Penilaian
Alat penilaian digunakan untuk mentaksir kemajuan pelajar sama ada secara formatif atau kumulatif. Penilaian boleh dilakukan dalam bentuk lembaran kerja dan tugasan bilik darjah atau secara gabungan dalam bentuk ujian dan projek tentang satu-satu pelajaran. Penilaian pembelajaran pelajar amat penting kerana memberikan maklum balas kepada guru dan pelajar serta digunakan untuk menentukan sama ada hasil pembelajaran yang diharapkan telah dicapai atau perlu diulangi pada pelajaran berikutnya.